Sir Gerald Templer pernah menggelar pasukan Sarawak Ranger sebagai Pasukan Terbaik Di Dunia dan untuk mana-mana pasukan tentera yang pernah berkhidmat sewaktu zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu suatu waktu dahulu memanggil mereka “The Sarawak Headhunter”.

Ketika Presiden Sukarno, presiden Indonesia suatu ketika dahulu pernah berkata di dalam satu ucapannya ” Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Ramai yang bercerai dari badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia.”

Inilah antara kata-kata yang pernah merujuk kepada Sarawak Rangers iaitu satu pasukan separa tentera yang begitu gah dengan kepakaran mereka menjejaki musuh serta keberanian mereka yang tiada tolok bandingnya sehinggakan Sarawak Rangers dulu, kini dan selamanya tetap menjadi kebanggaan Sarawak. Pasukan yang terkenal dengan moto “Agik Idup Agik Ngelaban” inilah yang akan menjadi artikel informasi sejarah untuk pembaca sekalian yang diberikan tajuk Sejarah Sarawak Ranger (1862-1963).

Sarawak Rangers merupakan satu pasukan separa tentera yang telah dibentuk oleh Rajah Charles Brooke iaitu Rajah kedua Sarawak pada Oktober 1862. Pada awal penubuhannya pasukan separa tentera ini telah dianggotai oleh anak tempatan Sarawak berbangsa Iban seramai 32 orang.

Mereka telah dipilih hasil daripada pemuafakatan Rajah Charles Brooke dengan tuai-tuai rumah etnik Iban yang menyokong kepimpinan keluarga Dinasti Brooke di Sarawak pada ketika itu. Pemilihan 32 orang ini bukanlah hanya sekadar tangkap muat tetapi etnik Iban 32 orang ini merupakan antara pahlawan etnik Iban yang gagah perkasa serta terkenal dengan selok belok berperang yang mewakili kawasan masing-masing.

Jadi apabila ada diantara pahlawan Iban yang sememangnya pandai di dalam taktik berperang ini mendapat kepakaran dan sentuhan daripada mereka yang berpengalaman di arena perang moden yang dibawakan khas daripada Negara Eropah maka mereka telah menghasilkan satu pasukan yang mantap.

Pada ketika inilah, Rajah Charles Brooke telah menggunakan Sarawak Rangers di dalam perang-perang untuk meluaskan empayar jajahan Sarawak pada ketika itu bagi melawan mana-mana mereka yang menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu ketika dahulu.

Sekitar tahun 1930an iaitu ketika dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk pada waktu itu, Sarawak Rangers juga mendapat tempias yang sama apabila pada 29 Februari 1932, Sarawak Ranger telah dibubarkan secara rasmi dan akibat pembubaran itu ada di kalangan Sarawak Rangers telah kembali ke kampong halaman masing-masing dan ada juga telah dengan rela hati diserapkan menjadi pasukan Polis Sarawak. Pada ketika itu,  Sarawak telah stabil dan banyak keringat mereka dituntut untuk menjaga keamanan di bumi Sarawak pada masa itu.

Ketika Sarawak di dalam persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua, sekali lagi Sarawak Rangers telah dipanggil untuk berbakti dengan Sarawak. Pada ketika itu Rajah Charles Vyner Brooke telah membentuk Sarawak Rangers kembali bagi tujuan pertahanan dan mereka telah terlibat secara langsung di dalam mempertahankan Lutong, Miri dan Kuching sewaktu pencerobohan tentera Jepun pada Disember 1941.

Ini terbukti apabila Sarawak Rangers adalah pertahanan terakhir sewaktu pertempuran terakhir di Kuching yang mana memaksa Sarawak Rangers untuk berundur ke kampong halaman masing-masing kerana kekuatan tentera Jepun sewaktu itu sememangnya begitu kuat sekali. Seperti kata pepatah lama biar putih tulang jangan putih mata, biarpun mereka telah berundur dan memberikan kemenangan kepada tentera Jepun namun begitu semangat anggota Sarawak Rangers mempertahankan bumi Sarawak tetap sentiasa ada di sanubari mereka dan akhirnya mereka bergabung dengan Major Tom Harisson iaitu seorang anggota tentera Tentera Komanwel daripada Australia yang melancarkan serangan gerila yang dikenali sebagai Pasukan “Z”.

Kerana kepandaian dan kepakaran daripada Sarawak Rangers ini ramai tentera Jepun yang telah dibunuh oleh mereka. Setelah Jepun menyerah kalah akibat daripada pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, pasukan Sarawak Rangers telah sekali lagi pulang ke kampong halaman mereka untuk kembali ke penghidupan normal mereka sebagai anak Sarawak.

Di ketika Tanah Melayu menghadapi serangan pengganas komunis iaitu pada tahun 1948 yang lebih dikenali sebagai zaman darurat komunis, sekali lagi pahlawan-pahlawan iban ini dituntut kepakaran mereka untuk membantu Tanah Melayu pada ketika itu oleh Kerajaan British Borneo Sarawak.

Pada masa ini 49 penjejak Iban telah dihantar ke Tanah Melayu untuk membantu anggota pasukan tentera komanwel menangani pengganas komunis pada waktu itu. Kepakaran mereka menjejaki musuh di dalam hutan sememangnya tiada tolok bandingannya. Sepatutnya mengikut perjanjian 49 penjejak Iban ini hanya bertugas di Tanah Melayu selama 3 bulan dan selepas 3 bulan ada diantara mereka telah dengan rela hati untuk meneruskan perkhidmatan mereka di bumi Tanah Melayu pada waktu itu.

Daripada 49 orang hanya 24 orang yang memilih untuk meneruskan perkhidmatan mereka dan 24 orang inilah yang diserapkan di dalam Pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh pasukan tentera Gurkha dan tentera Force 136. Selepas itu penjejak Iban ini telah datang silih berganti ke bumi Tanah Melayu dan dicatatkan sehingga tahun 1952 telah lebih 1,168 penjejak Iban yang berkhidmat sebagai Penjejak Iban Sarawak di Tanah Melayu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah ini iaitu penjejak Iban Sarawak yang kali pertama gugur di dalam perkhidmatan mereka di Tanah Melayu hanya berlaku pada 12 Mac 1951 iaitu Mendiang Jaweng anak Jugah yang berasal dari Kapit, Sarawak. Mendiang terkorban kerana ditembak secara tidak sengaja ketika melakukan serang hendap ke atas pengganas komunis. Pada ketika itu mendiang tersilap dikatakan sebagai salah seorang pengganas komunis.

Bayangkan setelah beberapa tahun berkhidmat di bumi Tanah Melayu hanya pada tahun 1951 baru ada penjejak Iban yang terkorban di dalam perang. Inilah salah satu keisitimewaan penjejak Iban Sarawak Rangers yang sememangnya begitu pakar di taktik perang serang hendap. Selain itu tercatat satu lagi sejarah di dalam memartabatkan penglibatan penjejak Iban Sarawak Rangers di dalam perang di Tanah Melayu apabila Awang anak Rawing, anak iban dari Skrang telah dianugerahkan dengan Pingat George Cross manakala Menggong anak Panggit menerima Pingat George daripada Kerajaan Mahkota Great Britain atas keberaniannya menyelamatkan pasukan masing-masing sewaktu keganasan komunis berleluasa di bumi Tanah Melayu ketika itu.

Biarpun penjejak Iban Sarawak ini merupakan mereka yang bertugas dengan tentera namun begitu mereka masih lagi tidak mendapat pengiktirafan sebagai anggota tentera sepenuhnya jadi bagi menjaga kebajikan mereka pada dari segi hak dan status setelah permuafakatan antara Kerajaan British Borneo Sarawak, pemimpin masyarakat Iban dan Kerajaan Koloni British maka pada tangga1 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu telah ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama adalah Leftenan Kolonel C.J Baird.

Bermula dari tarikh hari itu, barulah Sarawak Rangers dengan rasminya menjadi anggota tentera sepenuhnya. Pada 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak, Borneo telah ditubuhkan secara rasminya di bumi Sarawak oleh Kerajaan British Borneo Sarawak dengan pegawai pemerintahnya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban Sarawak Rangers iaitu Leftenan Tomlow anak Isa. Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada perjuangan anak Iban di dalam Sarawak Rangers memandangkan ketika itu Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo.

Sarawak Rangers keberanian dan kepakaran mereka dituntut di dalam banyak perang-perang di bumi asing contohnya di Tanah Melayu dan Brunei malah Sarawak sendiri walaupun ketika itu Sarawak belum lagi membentuk Gagasan Malaysia. Ada antara penjejak Iban Sarawak Rangers ini telah gugur di medan perang di bumi asing dan telah disemadikan dibumi asing suatu ketika dahulu dan hanya pada tahun 2011, 21 jenazah penjejak Iban telah dibawa pulang ke tanahair tercinta mereka iaitu Sarawak Bumi Kenyalang. Antara penglibatan perang mereka adalah seperti berikut:

  1. Kempen mengamankan Sarawak era Rajah Brooke.(1862 – 1942)
  2. Perang Gerila Jepun bersama ‘Reconnaissance Service Department’ (RSD) di Sarawak. (1942–1945)
  3. Darurat Tanah Melayu. (1948 – 1960)
  4. Darurat Sarawak (1952 – 1953)
  5. Pemberontakan Brunei (1962)
  6. Konfrantasi Indonesia Malaysia (1962 – 1963)

Di dalam perjanjian Penubuhan Malaysia, pihak Kerajaan British telah bersetuju untuk menubuhkan 2 buah batalian Askar Renjer Malaysia dan seterusnya melatih anggota-anggota tentera di peringkat awal dan seterusnya diikuti dengan penubuhan battalion ketiga. Penubuhan Askar Renjer Malaysia telah diumumkan di Parlimen British (House of Commons) oleh Secretary of State for Commonwealth Affairs pada 18hb Julai 1963.

Hanya beberapa hari sebelum Sarawak dimerdeka secara rasminya iaitu pada 22hb Julai 1963. Ekoran daripada itu, Sarawak Rangers telah dibubarkan secara rasminya dan kemudian pada 16 September 1963, anggota Sarawak Rangers telah diserapkan menjadi Batalion Pertama Regimen Renjer Malaysia. Batalion Kedua Regimen Renjer Malaysia terdiri daripada anak tempatan North Borneo (Sabah) dan Batalion Ketiga Regimen Renjer Malaysia merupakan anak tempatan Tanah Melayu.

Inilah sejarah panjang Sarawak Rangers dari tahun 1862 – 1963 yang kemudiannya dikenali sebagai Regimen Renjer Malaysia setelah penubuhan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963. Sarawak Rangers merupakan simbol kemegahan Sarawak dulu, kini dan selamanya dan sejarah tentang mereka seharusnya diketahui secara umum oleh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Jasa mereka bukan sahaja untuk Sarawak ibu pertiwi mereka malah jasa mereka juga turut disumbangkan di dalam memastikan kemerdekaan dan keamanan untuk bumi Tanah Melayu suatu waktu dahulu malah sehingga sekarang. Jasa mereka dilupa jangan hendaknya oleh seluruh rakyat Gagasan Malaysia.

Credit – https://www.thepatriots.asia/

#jomkampung #sarawak #sejarahkampung

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s